Ramai sedia maklum bahawa anak-anak yang beragama Islam di Malaysia biasanya diberikan nama dengan ‘Bin’ atau ‘Binti’ yang menunjukkan hubungan kepada bapa mereka. Ini sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu dan dianggap penting dari segi identiti dan keturunan.
Namun, tidak semua ibu bapa memilih untuk mengekalkan istilah ini dalam nama anak mereka. Ada yang tertanya-tanya — boleh ke sebenarnya gugurkan ‘Bin’ atau ‘Binti’ dari dokumen rasmi seperti sijil kelahiran atau MyKad?

1. Boleh Pilih Untuk Tidak Menggunakan ‘Bin’ atau ‘Binti’
Menurut portal Ask Legal yang memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri, penggunaan ‘A/L’ (anak lelaki) dan ‘A/P’ (anak perempuan) dalam kalangan masyarakat India bukanlah satu kewajipan, sebaliknya pilihan.
Begitu juga bagi ibu bapa beragama Islam. Walaupun secara lazimnya nama anak akan disertakan ‘Bin’ atau ‘Binti’, ibu bapa sebenarnya boleh membuat permohonan untuk menggugurkannya — asalkan ada alasan yang munasabah. Proses ini perlu dilakukan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bukan secara automatik.
2. Alasan Yang Diterima Untuk Gugurkan ‘Bin’ atau ‘Binti’
Antara sebab biasa yang dikemukakan termasuklah:
- Merancang untuk berhijrah ke luar negara, di mana sistem penamaan mengutamakan nama keluarga dan bukan nama bapa.
- Perkahwinan campur, contohnya antara wanita Islam dan lelaki mualaf, di mana nama keluarga mungkin digunakan sebagai identiti utama anak.
Dalam kes-kes seperti ini, ibu bapa boleh memohon untuk nama anak hanya menggunakan nama peribadi dan nama keluarga tanpa ‘Bin’ atau ‘Binti’.
3. Pandangan Syarak: Apa Kata Mufti?
Walaupun dari sudut undang-undang ianya dibenarkan, penggunaan ‘Bin’ dan ‘Binti’ tetap dianggap penting dalam Islam kerana ia berkait dengan keturunan (nasab). Menurut Pejabat Mufti, menjaga keturunan adalah salah satu matlamat utama syariah (maqasid syariah).
Membuang ‘Bin’ atau ‘Binti’ tanpa sebab yang jelas boleh menyebabkan kekeliruan keturunan, menimbulkan fitnah, dan menyukarkan urusan seperti pembahagian pusaka. Malah, dikhuatiri ada pihak yang menyalahguna perkara ini untuk menutup identiti sebenar, contohnya menyembunyikan status anak angkat.

Bagaimana Prosedur Untuk Buang ‘Bin’ atau ‘Binti’?
Sekiranya anda tetap mahu membuat permohonan, ini langkah yang perlu diambil:
- Sediakan surat sumpah – Pergi ke pesuruhjaya sumpah untuk mengisytiharkan niat menggugurkan ‘Bin’ atau ‘Binti’.
- Hadir ke JPN – Buat Permohonan Pindaan Butiran Kad Pengenalan di mana-mana cawangan terdekat.
- Isi borang – Lengkapkan borang KP.16 dan sertakan dokumen sokongan seperti surat sumpah, sijil kelahiran, MyKad pemohon, serta MyKad ibu bapa jika permohonan dibuat untuk anak.
- Nyatakan sebab – Berikan alasan yang kukuh untuk menyokong permohonan anda.
